Selasa, 8 November 2011

Aku Kembali

Aku sudah terlalu lama tidak menjengah laman ini. Busy kononnya. Memang pun. Tapi banyak jugak benda yang baik berlaku dalam hidupku. Pertama, aku dah dapat bibik. Kedua, aku dah mula belajar di IPTA. Ambil 'Masters'. Ketiga, aku dapat boss baru...

Sekarang anakku tak payah lagi bersusah payah di Taska. Dapat menanti aku dengan selesa di rumah. Makan dan pakai terjaga. Bas sekolah menjemput dan menghantar sampai depan rumah. Kakak sudah semakin tembam, apa taknya dia boleh 'demand' apa yang dia nak makan dekat bibik tu. Alhamdulillah, bibik aku tu orangnya boleh tahan sabar, pandai mengemas dan memasak. Kini aku cuma sibuk dengan urusan menghantar dan menjemput anak2 dari tuisyen dan juga kelas mengaji. Haaa, mengaji pun aku dapat cari kelas yang bersesuaian. Ustazah yang baik hati tu kata aku boleh hantar malam dan tak kira pukul berapa. Aku bersyukur ke hadratNya. Aku di berkati Allah. Aku tahu..

Sudah sebulan aku mula belajar. Sangat2 suka dengan subject yang aku ambil. Aku terasa ada keyakinan yang baru. Lagi pun aku dapat melakukan sesuatu memang untuk kebaikan diriku. Aku mendapat pensyarah yang bagus, kawan2 yang baik...tempat belajar yang tidak jauh dari rumah. Ya! Allah, aku bersyukur.

Akhir sekali, aku mendapat bos baru. Masih lagi di tahap mengenali dia namun dia telah pun mula mengajar aku banyak perkara yang bos dulu tidak pernah ajar. Di ofis masalah memang banyak, namun itu cabaran yang kena aku hadapi. Itu adalah kehidupan aku.

Tahun ini sudah hampir ke penghujungnya..Menoleh ke belakang, sedikit pun aku tidak kesal kerana mengambil keputusan itu. Kepayahan memang ada, tetapi kalau kita serahkan urusan yang kita tak dapat selesaikan kepadaNya, Insyaallah kita akan menemui kebaikan.

Takat ini sahaja buat kali ini. Kita jumpa lagi.

Sabtu, 21 Mei 2011

Fwd: Mimpi Adik





Pagi tadi adik bangun dari tidur lantas menyapaku yg sedang baring di sebelahnya. Dia kata umi mesti sedih dan kecewa kalau adik cerita pasal mimpi adik. Aku memujuknya untuk bercerita.Dia kata dia bermimpi ayahnya kahwin lain. Dia kata dlm mimpi itu aku tinggalkan ayahnya. Dia kata dia sangat bencikan perempuan itu. Dia marahkan ayahnya dan terus mengikuti aku dan kakaknya ketika itu. Dia kata aku dan kakak sgt sedih.
Byk kali dia tanya apakah aku kecewa. Aku kata aku tak percaya mimpi. Dia terus bertanya. Aku pula menyoalnya..adik kecewa ke? Iya...dia kata.
Ya Allah amat besar kuasaMu. Byk rahsiaMu. Mimpi adik adalah benar tapi aku tak mampu untuk berterus terang. Aku memujuk adik, meminta dia melupakan mimpi itu. Adik minta aku rahsiakan. Dia kata dia tak boleh lupa. Aku perhatikan wajahnya..anak kecil yang kadang2 lebih matang dari usianya..
Aku doa dan berharap bila tiba waktu, kami akan kuat menghadapinya. Tolong doakan aku!!!


Isnin, 2 Mei 2011

Cerita kawan-kawan

Seperti yang aku harapkan, pertemuan dengan rakan lama telah mengimbau pelbagai kisah lama. Manakan sempat nak bercerita panjang lebar dalam waktu yang singkat. Yang pastiya aku menegur semua rakan2 yang hadir tidak mengira mereka rapat atau tidak dengan aku semasa kami bersekolah dulu.

Memang agak canggung kerana masa telah berlalu terlalu lama. Fizikal masing2 telah berubah. Penampilan juga begitu. Namun yang pasti sama adalah semangat dan kemesraan antara satu sama lain. Agak ramai yang tidak cam wajahku dek kerana dulu aku berkaca mata dan sekarang ber 'contact lense'. Dulu tidak bertudung, senang berambut pendek, tapi kini bertudung litup


Ramai yang bertanya kemana aku pergi selama ini. Aku cuma tersenyum dan tidak berterus terang bahawa aku melarikan diri sebenarnya. Kini aku telah bersedia untuk melangkah jauh ke hadapan meninggalkan memori pahit di belakang. Aku tidak berterus terang tentang statusku kerana aku masih belum lagi bersedia namun ada juga rakan2 yang spt aku. Rumahtangga yang dibina kecundang di tengah jalan.

Walau apa pun aku tetap bersyukur dengan kurniaMU. Aku telah dipanjangkan umur dan diberikan kesempatan bertemu rakan lama. Betapa kini aku sedar, ramai juga yang masih mengingati aku walau sekian lama menyepi.

Aku berharap rakan2 ku semua bakal dikurniakan umur yang panjang, kesihatan yang baik dan rezeki yang melimpah ruah walau di mana pun mereka berada.

Khamis, 28 April 2011

Sahabat Lama

Hujung minggu ini aku bakal ketemu kawan2 lama yang telah lama terpisah. Bayangkan lebih dari 20 tahun. Macam2 ada di fikiran masing2. Pastinya cuba mengingat wajah kawan2 semasa muda remaja dulu.

Aku memang telah lama ingin bertemu kawan2 namun dulu banyak sangat halangannya. Sang suami la..Dia tidak pernah suka kalau aku ingin menghadiri majlis2 sebegini. Tidak tahulah kenapa. Aku juga ada rasa rendah diri, kerana aku tidak suka kalau kawan2 bertanya mengenai suamiku. Well, now tidak lagi. Semua itu telah berlalu. Kini aku bebas berbuat apa yang aku suka. Jumpa kawan2 dan saling bertukar cerita pasti hebat.

Aku ikhlas. Aku cuma ingin bertemu melepas rindu. Tidak ada satu memori buruk pun yang aku ingat. Yang aku bayangkan wajah masing2 ketika tersenyum dan bergelak ketawa. Aku harap pertemuan kali ini dapat mendatangkan suatu keindahan buat kehidupan aku. Dan lagi satu, aku dapat meluaskan network aku. Almaklumlah..bidang kerja aku ini, kena cari customer bukan customer cari aku.



Apa2 pun aku akan update blog ini dengan cerita2 menarik tentang kawan2 aku. Selamat malam!

Selasa, 26 April 2011

Cabaran

Aku sejak dari kecil memang penggeli kepada haiwan perosak rumahtangga seperti tikus, cicak, lalat, lipas dan yang sewaktu dengannya. Hmm..kalau dulu bolehlah aku lepas tangan andai terdapatnya mahluk ini di dalam rumahku. Semuanya ku serahkan bulat2 pada sang suami. Tetapi kini tentunya berbeza. Almaklumlah kan..kita dah solo ni. Nak harapkan anak2. Mereka pun sejantina dengan aku. Sudah tentu penggeli macam aku juga.

Sejak kebelakangan ini agak selalu si 'cencurut' masuk ke dalam rumah aku. Nak katakan banyak sisa makanan, tidak juga. Aku amat jarang memasak sejak kebelakangan ini. Ada lubang yang tidak ku ketahui di mana yang menyebabkan si 'cencurut' ini bebas keluar masuk. Setelah di amati aku rasa melalui tingkap dapur bahagian atas yang bercermin condong. Macam mana aku nak atasi masalah ini? Terpaksa aku memanggil abang sulung untuk membantu. Sementara itu aku giat memasang perangkap untuk menewaskan si 'cencurut'. Tetapi aku memang tidak berani untuk membuang mangsa yang terperangkap itu....Inilah cabaran yang agak besar untuk aku. Memang bukan serius sangat kalau nak dibandingkan dengan masalah ibu2 tunggal lain di luar sana tetapi yang kecil ini memang aku rasa aku tidak dapat atasi. Aku amat geli dengan haiwan itu.

Sekarang aku akan memasang strategi untuk memastikan tiada lagi jalan masuk untuk si 'cencurut' . Maknanya aku kena 'renovate' tinggkap yang sedia ada. Yeah! wish me luck.

Itulah aku., si penggeli...yang cuba berlagak berani walau hakikatnya hanya Allah yang tahu.

Sabtu, 16 April 2011

Masih belum...

Sudah lama aku tidak berkesempatan untuk menuliskan coretan. Aku teramat sibuk dengan urusan kehidupan yang tidak pernah berpenghujung. Kadang kala aku alpa dan melupakan tujuan aku hidup di muka bumi ini. Ya! Allah sesungguhnya aku ini manusia yang lemah.

Hari ini barulah aku berpeluang menghabiskan masa dengan anak-anak ku. Melayani kehendak mereka sambil membawa mereka bersiar-siar. Aku tahu mereka merasa seperti ada yang kurang dalam kehidupan mereka, cuma mereka belum tahu bagaimana untuk meluahkannya. Yang ketara sejak akhir2 ini mereka sering menimbulkan masalah dan sering bertengkar sesama mereka dan juga aku.
Sekali sekala timbul jugak rungutan dari bibir yang sulung mengharapkan agar ayahnya kembali ke rumah dan tidak bekerja 'jauh'. Setiap kali itulah juga hatiku sayu. Menyesali keadaan yang terjadi dan mereka adalah mangsa keadaan. Jangan salah sangka, aku tidak menyesali keputusan yang ku ambil ini, cuma aku sedih..kerana sebagai ayah, dia tidak pernah mementingkan perasaan anak2nya sebelum membuat keputusan untuk menduakan aku.

Sejak akhir2 ini dia tidak menghubungi anaknya seperti selalu dilakukan. Sebulan lepas dia telah diberhentikan kerja..(yang entah keberapa kali). Sales tak meet target. Tentulah dia ingin berjimat cermat antara kekasih dan anak2. Aku merasa kasihan pada anak2. Sesekali ada juga aku mendail nombornya dan memberi peluang kepada mereka untuk berbual dengan ayah mereka. Bodoh ke aku? Tidak, aku cuma mementingkan perasaan anak2 ku.


Tidak pernah hari yang berlalu aku tidak memikirkan cara yang terbaik untuk berterus terang dengan anak2ku. Banyak cerita mengenai emosi anak yang terganggu kerana ibu bapa mereka berpisah. Dan aku amat takutkan itu. Aku jadik insan yang begitu takut..Apatah lagi yang sulung itu selalu bercerita tentang sahabatnya..(ayah dan ibunya telah bercerai). Aku dapat rasakan dia merasai kesedihan sahabatnya itu. Ya Allah! Aku tidak sanggup lagi...belum lagi.

Aku berdoa dan terus berdoa, agar bila tiba hari itu nanti..mereka akan tabah seperti aku. Insyaallah. Mudah-mudahan...

Ahad, 13 Mac 2011

Adik

Cerita kali ini tentang adik, anakku yang bongsu. Aku kadang2 tidak dapat membaca apa yang ada di dalam fikirannya yang masih muda itu. Dia selalu akan memberitahu aku hati dan perasaannya ketika hanya ada aku dan dia. Kadang kala benda yang diperkatakan olehnya berlaku 2 atau 3 minggu lepas.

Tempoh hari, ketika aku berjalan bersama dengan dia di pasar selepas menghantar kakaknya ke sekolah untuk aktiviti ko-kurikulum, dengan secara tiba2 ketika aku sedang membelek tudung dia berkata dia tidak sukakan kawan sekolah aku. Aku terkejut dan bertanya kepadanya kawan yang mana satu. Kawan lelaki umi yang nak kahwin dengan umi dulu tu, katanya. Aku ingin tergelak besar namun seperti selalu aku akan bertanya seperti orang dewasa. Aku menjelaskan kepadanya kawan itu bukan ingin berkahwin dengan aku tetapi cuma menyukai aku semasa sekolah dulu. Hmmm...kata2 ku seminggu lalu masih lagi dia ingati.

Segera aku membayangkan andainya dia dapat tahu situasi sebenarnya aku dan ayahnya kini. Apa reaksinya kalau dia mengetahui bahwa ayahnya sudah mempunyai orang lain. Ini membuatkan aku semakin tidak berani untuk berterus terang.

Ya ! Allah , kau berikanlah petunjuk kepada diri ku ini..sesungguhnya aku buntu. Semakin di simpan, aku tahu semakin mereka akan merasa kecewa.

Ahad, 6 Mac 2011

Minggu yang panjang

Aku memang amat penat minggu ini. Ada big dateline and sales activity. Dahla tu, hujung minggu perlu berkursus plak. Baju2 kotor banyak yang tak berbasuh. Balik plak asyik lewat aje. Kadang2 rasa aku tak mampu nak buat semua benda pada waktu yang sama.

Bila kepenatan, dengan waktu yang amat terhad dengan anak2 kadang2 aku merasa amat sedih. Kasihan mereka. Demi untuk melunaskan tanggungjawab, mereka terkadang menjadi mangsa.

Yang kecik tu sepanjang minggu asyik meragam. Ada aje yang tak kena kalau nak ke sekolah. Letih!

Dalam kepenatan dengan segala macam ini memang ideal kalau kita berteman, tetapi dahulu pun dia tidak membantu banyak. Jadiknya..nothing change. Aku patut tahu itu. Iyalah kita ni manusia kadang2 tak reti nak bersyukur. Akulah insan itu.

Walau bagaimanapun, aku gembira sekurang2nya aku dapat mengetahui perkembangan rakan2 lama. Ramai yang sudah berjaya. Aku pun akan berjaya juga..kena teruskan usaha tanpa putus asa.

Aku juga berazam, aku tetap akan meneruskan coretan hidup aku didalam ruangan ini supaya suatu hari nanti anak2 ku akan faham dan belajar erti kehidupan.

Till then..see ya!

Sabtu, 19 Februari 2011

Muhasabah diri

Hari ini aku banyak berfikir tentang diriku sendiri. Aku rasa aku patut buat satu perubahan pada hidup aku sekarang supaya aku lebih berjaya. Tahun lepas, pencapaian aku memang tidak begitu memberangsangkan. Semuanya kerana masalah yang aku hadapi ini. Tidak ada seorang pun tahu apa yang terjadi dan apa yang aku lalui. Betapa aku sengsara dengan semuanya...aku jadi tidak fokus. Aku jadi perengus..aku jadi pembenci..aku jadi seorang yang tidak ikhlas..aku jadi seorang yang 'stagnant'..

Cukup dengan semua ini. Cukup dengan self pity. Move on..itu yang aku perlu lakukan. Tahun ini aku perlukan strategi untuk lebih berjaya. Aku tidak mahu orang ingat aku ini bodoh! Iya..aku akan mulakan langkah itu..Langkah itu aku mulakan Isnin yang akan datang ini.

Ya!Allah aku ini lalai..Ingatkanlah aku supaya aku tidak lalai lagi Ya Allah! Berkatilah aku..berilah aku kebahagian di dalam hidupku. Amin!!

Sabtu, 12 Februari 2011

Terharu

Isnin minggu ni aku demam panas. Sungguh tidak berdaya. Sudahlah penat melayan karenah pelanggan. Aku hanya mampu menjamah makanan tengahari pada pukul 5.30pm. Malamnya pula aku terpaksa bergegas menghantar anak ke pusat tuisyen. Letih!

Pukul 10 malam baru aku dapat merebahkan diri di atas sofa. Di saat2 ini memang amat terasa andainya kita tdk mempunyai pasangan hidup. Aku meminta anak2 tersayang menguruskan diri sendiri dan aku merayu agar mereka tidak bergaduh seperti selalu.

Dalam keletihan itu aku dapat mendengar anak sulungku membantu adiknya mengemas buku dan membasuh bekas minuman. Setelah siap mereka mengejutkan aku dan sebelum tidur mereka masih lagi memicit dan mengurut badanku yang keletihan. Ya!Allah..Sesungguhnya Kau sentiasa ada. Kasih sayang yang aku curahkan pada anak2 ku dibalas pada saat aku memerlukan mereka.

Iya, aku yakin, aku boleh 'survive' walaupun sendirian membesarkan anak2. Tetapi aku amat berharap agar aku dirahmati Allah dan kesihatan ku selalu baik demi untuk anak2 aku.

Aku sayang anak2 ku..kerana mereka aku boleh berdiri tegap, menahan dugaan dan cabaran dan berani mnenghadapinya sendirian. Insyaallah!

Sabtu, 5 Februari 2011

Dendam tak kesudahan

Aku manusia biasa. Aku tidak boleh katakan yang aku telah lupakan apa yang terjadi. Itu sebab kalau hari cuti aku lebih suka berjalan-jalan dan window shopping. Kalau aku di rumah aku mesti teringat2. Bukan teringat kat ex tapi teringat sequence of incidence yang membawa kepada perpisahan itu.

Dia memang telah meminta maaf. Masa kat mahkamah tu pun dia nangis. Tapi aku buat cool aje. Sesungguhnya kering sudah airmata aku. Aku tidak boleh terima kerana terlalu byk dia tipu aku. Yang lebih pedih tu, pompuan tu pun cuba nak menipu aku. Dia sanggup menjadi kekasih gelap asalkan ex aku tak ceraikan aku. Apa punya jenis manusia. Try to be nice konon! Dia sebenarnya sedang berlakon. Dia berlagak baik depan ex aku yang tak berapa nak cerdik tu. Deep inside her heart she wants my ex to be hers alone. Sudahlah begitu dia suruh aku plak bermuhasabah diri. Cuba fikirkan apa kekurangan aku menyebabkan suami cari orang lain. Dia sendiri anak dara tua dan tak pernah kahwin. Sebelum ni pun skandal dengan laki orang! Dah desprate sangat sampai ex aku yang tak berkualiti tu pun dia nak sambar.

Memang aku minta diceraikan. Bukan aku bangga tetapi aku rasa aku perlu di beri peluang untuk kehidupan yang lebih bahagia. Aku tidak mahu hidup dalam kerungsingan menanti kepulangan suami dari kerja yang most of the time late midnight, sometimes 4 am. Bayangkan aku tahan semua tu demi memberi ruang dan kepercayaan kepada insan yang bergelar suami. Padahalnya dia tidak pernah cukup wang. Most of everything aku yang tanggung. Kadang2 duit belanja pun minta dengan aku.

It has already been a year now but aku masih menyimpan dendam. Dendam yang tidak berkesudahan. Aku tahu ianya tidak elok kerana akan mengaburkan jalan bahagia yang terbentang luas di hadapan. But just like I said, aku ini insan biasa...

Jumaat, 4 Februari 2011

Aku Solo Sekarang

Aku memang solo sekarang. Perkahwinan aku yang berusia 13 tahun hancur berderai disebabkan oleh orang ketiga. Kepercayaan yang aku berikan kepada ex-s**** di sia2kan. Entahlah kalau aku ingat2kan mahu aje aku ganyang pompuan tu. Tapi aku tidak mahu merendahkan martabat diri aku.

Bayangkan dia taknak berpisah dengan aku dengan alasan terlalu sayangkan aku dan anak2...Tapi tak sanggup plak nak tinggalkan pompuan tu.

Pompuan tu plak cuba berlagak baik. Kononnya dia bukannya syokkan ex aku. Tapi ex aku yang terhegeh2. Hmm, pada masa yang sama menghantar sms cinta setia bagai nak rak. Aku taknak faham dan tak ingin nak faham. Yang pastinya dia dan ex aku adalah penipu besar. Baguslah penipu dengan penipu. Memang padan la mereka berdua.

Tetapi aku tetap sedih kerana anak2 aku tidak patut menjadi mangsa. Namun aku terpaksa kerana kebahagian tidak mungkin akan ada setelah apa yang terjadi.

Itulah kisah sedih aku..yang mungkin sama dengan kisah sedih ramai perempuan lain. Memang masih ada orang yang sanggup membina kebahagian di atas kehancuran mahligai orang lain. Pelik tapi benar!